Pasukan khas cegah jenayah alam sekitar beroperasi Oktober ini

0
3

Fitri Nizam

KERAJAAN menubuhkan pasukan petugas khas cegah jenayah alam sekitar membabitkan pelbagai unit penguatkuasaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bakal beroperasi secara rasmi, Oktober ini.

Pasukan khas itu akan turut disertai Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Bio Keselamatan (JBK).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kementeriannya amat memandang serius insiden pencemaran yang semakin berleluasa di Malaysia dan ia perlu ditangani secara holistik dan proaktif.

Katanya, insiden terkini di Sungai Gong, Selangor baru-baru ini, memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar, ekonomi negara serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Bagi menangani masalah berkaitan pencemaran alam sekitar di negara ini, JAS, SPAN dan JBK menguatkuasakan undang-undang sedia ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Biokeselamatan 2007.

“JAS, JBK dan SPAN telah melaksanakan pelbagai operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap punca-punca yang tertakluk di bawah Akta masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan susulan dengan JPA dan Kementerian Kewangan supaya unit ini dapat diperkukuh kerana ia akan
melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan tambahan.

“Selain itu, mesyuarat bersetuju PDRM mengambil tindakan segera ke atas penjenayah alam sekitar, penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, selain Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan diberi kepada PDRM.

“Setakat ini, perwakilan kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah diberikan kepada PDRM,” katanya.

Beliau berkata, dengan tertubuhnya unit itu, kementerian berharap dapat mencegah, membendung dan menyelesaikan kes jenayah alam sekitar terancang di Malaydia dengan lebih efektif. – Malaysiapost