Ramalingam nafi tuduhan salah guna dana MITRA

0
2

SETIAUSAHA Eksekutif MIC, AK Ramalingam menafikan pihaknya menerima sebarang penyaluran dana daripada agensi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) berkaitan projek Malaysia Aquaculture Entrepreneurship programme (MACEP).

Beliau berkata, MACEP merupakan satu inisiatif yang dirancang secara terperinci khususnya bagi kumpulan belia India B40.

“Inisiatif ini telah saya lancarkan pada tahun 2020 setelah saya dilantik sebagai Ahli Jemaah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Pada peringkat awal, perbincangan bagi merealisasikan inisiatif ini telah diadakan di pusat latihan kami di Broga, Semenyih bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan; dan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

“.. di mana telah dipersetujui cadangan pihak kami bahawa penyertaan seramai 1,000 orang belia India (B40) yang terdiri daripada 10 orang peserta mewakili 100 kawasan Parlimen di Malaysia untuk MACEP.

“Sehubungan dengan itu, saya bersama Unit Komunikasi Media telah mengeluarkan kenyataan media dan berjaya mengenal pasti lebih daripada 1,000 orang belia India B40 yang ingin menyertai MACEP ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, MITRA juga telah mengadakan lawatan penilaian awal ke pusat latihan berkenaan sebelum MACEP diluluskan.

“Ia diikuti pihak saya menandatangani perjanjian kontrak di pejabat MITRA pada 3 Disember 2020 dengan kapasiti pelaksanaan bagi hanya 200 orang belia India B40 sebagai permulaan.

“Jadi, untuk pengetahuan semua, pihak saya tidak menerima sebarang penyaluran dana daripada MITRA sehingga kini walaupun kami telah menandatangani perjanjian kontrak atau “Contractual Agreement” pada tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata, September lalu, pihaknya telah dipanggil oleh Ketua Pengarah MITRA yang baharu untuk perbincangan semula bagi merealisasikan MACEP ini.

“Beliau juga turut melawat Pusat Penternakan Ikan Jade Perch atau lebih dikenali sebagai ‘Jade Perch Hatchery’ di Johor untuk memastikan program ini dapat dilancarkan pada bulan November 2021.

“Malah, saya begitu komited dan serius untuk membantu belia India melalui program ini di mana saya sudah melabur dana saya sendiri untuk menempah anak ikan atau ‘fingerlings’ sebaik sahaja menandatangani kontrak pada Disember 2020.

“Ia disebabkan saya tidak mahu belia yang akan terlibat dalam program MACEP lewat dalam menerima hasil, maka saya telah melakukan tempahan awal dengan menggunakan dana saya sendiri,” katanya.

Berikutan penjelasan itu, beliau meminta individu atau mana-mana pihak yang menuduhnya menyalahgunakan dana MITRA untuk membuat laporan polis. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/anegun.com

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here