BIBIR pelakon, Harris Annuar bengkak teruk selepas disengat tebuan, awal pagi tadi.
Menerusi perkongsian video dan foto di Instagramnya, memaparkan bibir atasnya bengkak dan membesar berkali ganda daripada saiz asal.
Harris atau nama sebenarnya Mohammad Harris Shahrul Annuar, 28, berkata kejadian itu berlaku ketika dia sedang mencuci muka sebelum menunaikan solat Subuh sekitar jam 6 pagi tadi.
“Pagi tadi waktu nak mandi, bangun untuk solat subuh. Saya cuci muka, lepas tu ketika nak lap rupanya ada seekor tebuan hinggap di tuala dan saya tidak perasan ketika itu.
“Selepas bilas muka, saya terus ambil tuala dan lap. Ketika itulah tebuan tersebut terperangkap antara muka dan tuala seterusnya menyengat bibir atas saya. Ini juga bukan filter ya guys,” katanya.
Harris turut memaklumkan dia kini dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di Ipoh, dan dijangka dibenarkan pulang esok.
“Terima kasih untuk semua doa. Saya okey, cuma botoks original daripada tebuan ini sangat real.
“Bengkak pun Alhamdulillah dah surut dan stabil cuma doktor nak monitor jantung,” katanya. – Malaysiapost

