SEEKOR babi hutan tersesat dan merayau di sekitar Persiaran Gurney, Georgetown, hari ini.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Timur Laut, Kapten (PA) Muhammad Aizat Abdul Ghani berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.05 pagi.
Katanya, orang awam mendakwa haiwan berkenaan dilihat di sekitar pantai persiaran itu sebelum menghubungi talian kecemasan.
“Ketika anggota tiba, haiwan terbabit dilihat berada dalam keadaan ketakutan dan kita bimbang sekiranya ia bertindak agresif dengan mengganggu pengguna jalan raya.
“Haiwan itu kemudian melarikan diri sejauh 300 meter ke gerai makanan dan kawasan semak berhampiran,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Muhammad Aizat berkata, berikutan kawasan terbabit berhampiran dengan perumahan dan kompleks komersial, pihaknya terpaksa menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.
Katanya, sebaik mengenal pasti kedudukan, babi berkenaan ditembak.
“Kita tidak pasti bagaimana ia boleh tersesat di kawasan pesat dan kami juga mendapat maklumat ia turut dilihat merayau di sekitar Pasar Awam Pulau Tikus, lebih satu kilometer dari tempat ia ditembak.
“Tiada laporan mengenai orang awam yang tercedera atau kerosakan harta benda,” katanya.
Beliau memaklumkan operasi berkenaan tamat pada jam 9.40 pagi tadi. – Malaysiapost

