SYARIKAT yang mendapat untung besar, disaran melakukan beberapa perubahan asas, antaranya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dan mengambil pekerja-pekerja tempatan.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata berbekalkan keuntungan berlipat ganda, sekarang adalah masa terbaik untuk semua syarikat mega mengurangkan kebergantungan dan eksploitasi pekerja asing.
Menurutnya, inilah masa untuk membuka lebih banyak ruang kepada bakat dan tenaga tempatan dengan lebih radikal.
“Keuntungan lumayan dinikmati selama ini harus menjadi pendorong, malah pendesak kuat, untuk syarikat-syarikat besar ini menyumbang kepada negara dengan cara yang lebih bersepadu selain jalan cukai, sumbangan melalui CSR dan lain-lain.
“Ia boleh dimulakan dengan mengurangkan kebergantungan besar-besaran kepada pekerja asing dan kos meningkat bukanlah alasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ia memandangkan keuntungan dikaut selama ini sangat besar, maka peningkatan kecil kos operasi kerana mengurangkan pekerja asing dan mengutamakan warga tempatan tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukannya.
“Ia harus dilihat sebagai agenda nasional oleh syarikat-syarikat ini. Malah, dalam konteks polisi, tidak pelik kalau ikhtiar ini dilihat sebagai satu bentuk dasar pengurangan bahaya kepada ekosistem ekonomi Malaysia.
“Kita mungkin tidak boleh menyekat dan mengetepikan pekerja asing sepenuhnya. Namun sekurang-kurangnya syarikat dengan keuntungan ratusan juta ini boleh memulakan langkah untuk mengutamakan pekerja dan bakat tempatan,” katanya.
Beliau berharap semua syarikat tempatan akan lebih berjiwa besar dan pastikan segala kemewahan dan kemakmuran negara yang dikaut selama ini dikongsikan dengan lebih bermakna dan menyeluruh dengan menggaji lebih ramai pekerja tempatan.
“Saya yakin, sekiranya syarikat-syarikat pengeluaran di negara kita menawarkan insentif yang baik, ramai anak tempatan yang mahu menyertai industri pembuatan dan pengilangan. Malah, segala industri yang lain,” katanya. – Malaysiapost

