CUTI hujung minggu kali ini dan susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan, pastinya ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung bertemu keluarga selepas sekian lama tidak berpeluang berbuat demikian akibat pandemik Covid-19.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, turut berpeluang pulang ke kampungnya di Pekan, hari ini dan berkongsi mengenai keadaan trafik lebuh raya ke negeri Pantai Timur.
“Balik kampung hujung minggu ini? Saya pun. Gerak pagi tadi. Sampai terus ke Masjid Batu 8 Lepar untuk solat Jumaat.
“Tadi tak ada jem (kesesakan) ke Pekan. Malam ini, esok hari, tak tahu lah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu, turut mengingatkan orang ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing supaya berhati-hati memandu.
“Utamakan keselamatan diri dan keluarga. Kirim salam kat orang kampung ye,” katanya. – Malaysiapost

