Gangguan bekalan air di Lembah Klang pulih 50.6%

0
2

PEMULIHAN bekalan air ke 998 kawasan di Lembah Klang yang terjejas susulan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) sejak Rabu lalu semakin meningkat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, setakat jam 9 pagi hari ini, pemulihan bekalan air mencapai 50.6 peratus berbanding 28 peratus pada 6 pagi tadi.

Menurut kenyataan itu, Shah Alam hampir pulih sepenuhnya dengan mencatatkan kadar pemulihan tertinggi iaitu 92.3 peratus, diikuti Hulu Selangor (89.3 peratus), Kuala Selangor (75.6 peratus), Petaling (73.3 peratus) dan Gombak (59.9 peratus).

“Klang mencatatkan kadar pemulihan sebanyak 7.1 peratus sementara Kuala Lumpur dan Kuala Langat, masing-masing tidak berubah (0 peratus),” menurut kenyataan itu.

Air Selangor memaklumkan, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.

“Harap pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Status pemulihan kawasan yang terjejas, Pili Air Awam serta Stesen Pengisian Air Komersial boleh didapati di pautan hentitugas.airselangor.com,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here