Rosmah dibenarkan ke Singapura

0
1

PERMOHONAN Datin Seri Rosmah Mansor mendapatkan semula pasportnya untuk ke Singapura dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membuat permohonan berkenaan bagi menemani anak perempuannya bersalin di Singapura.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan itu dengan menetapkan syarat bahawa pasport perlu dikembalikan pada atau sebelum 6 Disember 2021.

Mohamed Zaini berkata, pemohon (Rosmah) hanya boleh keluar Singapura dari 22 Oktober dan mesti pulang ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021.

“Mahkamah membenarkan permohonan pemohon dan pasport dipulangkan pada 15 Oktober (hari ini),” katanya seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Terdahulu, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah, memberitahu mahkamah, anak perempuan pemohon, Nooryana Najwa sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura

Katanya, anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi ketika bersalin dan pemohon amatlah diperlukan berada di sisi anaknya bagi tempoh sebelum, sewaktu dan selepas bersalin.

“Perjalanan itu adalah penting bagi memastikan kesihatan anak pemohon dan kandungannya terjaga dan aman,” katanya.

Sehubungan itu, Jagjit memohon pasport anak guamnya dilepaskan sementara dan akan dipulangkan pada 24 November ini.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Bagaimanapun, pendakwaan berkata, pemohon tidak boleh mengganggu tarikh perbicaraan dan memohon garis masa yang ditetapkan.

Mendengar perkara itu, mahkamah memerintahkan pasport dipulangkan pada 21 November memandangkan pemohon perlu menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari sebelum menyambung perbicaraan pada 8 November ini.

Pada 5 Oktober lalu, Rosmah memberi keterangan secara bersumpah pada prosiding perbicaraan peringkat bela diri kes rasuah membabitkan solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here