BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mengesahkan Badan Peguam Malaysia memohon kepada Mahkamah Persekutuan untuk dilibatkan dalam prosiding kes cukai beliau dan anak Datuk Mohd Nazifuddin hadapi.
Menurutnya, Badan Peguam menzahirkan kebimbangan dengan kes pembayaran cukai pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terbabit.
“Badan Peguam memberitahu kami bahawa mereka amat bimbang dengan kes saya sebab mereka rasa Seksyen 106(3) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang kata hakim tiada kuasa untuk mempertikaikan pengiraan taksiran LHDN.
“Pembayar cukai perlu “bayar dulu, bincang kemudian” tanpa proses rayuan yang dikenakan ke atas saya mungkin melanggar Perlembagaan Persekutuan atau menghakis kuasa mahkamah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Najib berkata, badan berkenaan juga memaklumkan keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung kes dihadapinya itu akan memberi kesan besar kepada semua pembayar cukai dalam negara.
Pada Rabu lalu, Badan Peguam dilaporkan memohon untuk menjadi ‘amicus curiae’ atau sahabat mahkamah dalam prosiding kebenaran merayu yang difailkan Najib Razak dan anak lelakinya bagi kes cukai pendapatan yang mereka hadapi.
Berdasarkan surat bertarikh 13 Oktober yang dihantar kepada Mahkamah Persekutuan, Badan Peguam memohon mahkamah membenarkan lapan peguamnya diterima masuk sebagai ‘amicus curiae’ bagi mendengar rayuan itu. – Malaysiapost

