Tindakan rakam perbualan suara pemimpin perlu disiasat- Zahidi

0
2
Zahidi Zainul Abidin

Nurul Huda Abhar

UMNO mahu tindakan merakam perbualan telefon membabitkan pemimpin kerajaan dan parti disiasat serta dicegah secepat mungkin untuk mengelakkan sebarang kesan buruk.

Ahlu majlis kerja tertinggi (MKT) Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat badan itu malam tadi.

Menurutnya, perbuatan merakam perbualan telefon telah berlaku beberapa kali dan tindakan tersebut perlu dicegah.

“Mesyuarat malam ini menyentuh mengenai rakaman telefon. Perkara seperti ini telah berlaku banyak jadi kita kecewa dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak yang suka merakam perbualan orang.

“Ahli MKT menyatakan pendirian kita akan menyiasat agar pada masa depan tiada lagi berlaku. Pada mula berlaku pada Datuk Seri Najib. Lepas itu berlaku pada Datuk Seri Zahid Hamidi dan seterusnya Perdana Menteri,” katanya kepada media selepas mesyuarat MKT Umno malam tadi.

Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, kementeriannya juga akan menyiasat perkara itu termasuk ada pembabitan syarikat telekomunikasi.

“Perkara ini sangat memalukan. Kita akan adakan siasatan adakah syarikat telekomunikasi terlibat. Kementerian Komunikasi akan siasat dan cari jalan bagaimana mahu mencegah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahidi berkata, tiada sebarang laporan polis dibuat setakat ini namun pihaknya akan membuat siasatan terperinci kerana ia melibatkan pencerobohan peribadi individu.

“Belum buat laporan polis tetapi kita tengok perkara ini menjadi trend dan peribadi mereka telah diceroboh. Jadi menjadi tanggungjawab di kementerian saya.

“Tetapi kalau mereka yang terlibat sendiri merakam. Contoh perbualan Perdana Menteri tidak mungkin Perdana Menteri sendiri rakam. Mungkin orang lain yang rakam untuk gunakan sebagai kempen pilihan raya.

“Saya berharap pihak-pihak tertentu, dan rakyat tidak terlibat dalam melakukan kerja-kerja tidak bermoral ini,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, beberapa siri pendedahan membabitkan rakaman perbualan telefon dilihat menjadi senjata politik pihak tertentu termasuk membabitkan kes kontroversi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu.

Terbaharu tular di media sosial rakaman audio perbualan dua individu mirip suara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dipercayai berkaitan krisis politik Melaka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here