JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama persatuan tahfiz sepakat memperkemaskan pengurusan institusi tahfiz di negara ini yang menghadapi pelbagai kesukaran susulan pandemik Covid-19.
Persepakatan itu susulan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad yang mahukan Jakim memberi perhatian serius terhadap institusi pendidikan Islam di negara ini.
Jakim dalam satu kenyataan, memaklumkan satu pertemuan diadakan bersama wakil-wakil persatuan tahfiz di Putrajaya, hari ini bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Jakim telah mengadakan pertemuan bersama wakil institusi tahfiz bagi membincangkan langkah-langkah wajar ke arah memperkemaskan pengurusan tahfiz di negara ini.
“Ia susulan institusi tersebut menghadapi pelbagai kesukaran untuk meneruskan pengoperasiannya susulan pendemik Covid-19,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Pertemuan itu dihadiri oleh Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh, dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

“Turut dibincangkan keperluan persatuan membantu usaha memastikan semua institusi tahfiz berdaftar dengan pihak berkuasa bagi memudahkan bantuan dapat disalurkan dari semasa ke semasa.
“Pihak persatuan turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan pihak kerajaan terhadap institusi tahfiz selama ini termasuk peruntukan RM40 juta sepertimana diumumkan Menteri Kewangan di Parlimen baru-baru ini,” katanya. – Malaysiapost

