RAKYAT Malaysia masih belum dibenarkan melancong ke Indonesia kerana hanya pelancong dari negara yang mempunyai kadar positif jangkitan Covid-19 serendah lima peratus dibenarkan masuk ke negara jiran itu.
Portal Kontan melaporkan, setakat ini pelancong dari 19 negara sahaja dibenarkan masuk ke Indonesia.
Negara tersebut ialah Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE), New Zealand, Kuwait, Bahrain, Qatar, China, India, Jepun, Korea Selatan, Liechtenstein, Itali, Perancis, Portugal, Sepanyol, Sweden, Poland, Hungary dan Norway.
Perkara itu diumumkan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, Luhut Binsar Pandjaitan di Jakarta, hari ini.
“Seperti arahan Presiden, kami membenarkan 19 negara untuk melakukan perjalanan menuju ke Bali dan Pulau Riau,” kata Pandjaitan.
Menurut Pandjaitan, kebenaran yang diberikan kepada 19 negara tersebut dibuat berdasarkan standard ditetapkan Pertubuhan kesihatan Sedunia (WHO).
“Kerana angka jangkitan Covid-19 (19 negara) berada pada tahap satu dan dua, dengan kadar positif yang rendah,” katanya.
Pandjaitan seterusnya berharap kebenaran kemasukan pelancong ke Bali berjalan dengan lancar dan penambahbaikan prosedur akan dilakukan dari semasa ke semasa.
Bali adalah salah satu lokasi di Indonesia yang mempunyai ramai pelancong antarabangsa dan Pulau Riau yang berada di barat negara dan bersempadan dengan Singapura pula menerima jumlah pelancong asing kedua tertinggi. – Malaysiapost

