PENGARAH Kesihatan Selangor, Datuk Indera Dr Sha’ari Ngadiman menjadi antara penerima awal suntikan penggalak (booster dose) Covid-19 hari ini.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan ia kemudian disusuli 29 anggota petugas kesihatan yang lain di Hospital Shah Alam.
Menurut JKNS, ia sebagai menyahut baik seruan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagi membendung wabak Covid-19 di negeri itu.
“Untuk makluman orang ramai, dos penggalak ini adalah bagi memastikan perlindungan lebih optimum kepada Covid-19 selaras dengan penyusutan perlindungan vaksin dengan masa terutamanya bagi golongan berisiko tinggi,” kata JKNS.
Ahad lalu, Khairy dilaporkan berkata pemberian dos ketiga dan penggalak akan mula diberikan kepada petugas barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi bermula minggu ini.
Khairy dilaporkan berkata pemberian dos vaksin berkenaan akan bertumpu kepada golongan terbabit dahulu sebelum diteruskan kepada rakyat kebanyakan.
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19, Pfizer BioNTech, bagi golongan berusia 18 tahun ke atas.
Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemberian dos vaksin berkenaan akan dibuat sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua. – Malaysiapost

