Fitri Nizam
LANGKAH PAS untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak bermakna parti itu ‘bersara’ daripada politik di negeri terbabit.
Sebaliknya, Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata langkah diambil PAS itu semata-mata untuk menjayakan hasrat semua parti pembangkang bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
Beliau berkata, pertandingan tiga penjuru hanya akan menguntungkan pihak lain dalam PRN itu.
“Ia (keputusan) dibuat setelah PAS
mengadakan perbincangan hati ke hati atas konsep solidariti pembangkang antara
semua parti-parti yang ada di Sabah iaitu Barisan Nasional, Bersatu, STAR, PBS
dan SAPP,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin berkata, walaupun PAS tidak bertanding namun pihaknya akan tetap menurunkan jentera pilihan raya dan memastikan penyokongnya mengundi calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional.
“PAS Sabah dibantu oleh PAS Malaysia akan tetap menggerakkan jentera pilihan raya atas kapasiti ‘tidak bertanding’, namun akan memastikan semua pengundi keluar mengundi bagi menyokong calon- calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” katanya. -Malaysiapost

