PELAKON veteran, Idris Mat Diah meninggal dunia di kediamannya di Presint 9, Putrajaya, pagi tadi.
Perkara itu dimaklumkan, pelakon Mustafa Kamal yang menzahirkan ucapan tahziah kepada keluarga Allahyarham menerusi Facebooknya hari ini.
“Selamat tinggal sahabat seperjuangan. Semoga roh mu di tempatkan bersama golongan yang beriman dan beramal soleh, serta diangkat darjatnya oleh Allah SWT Aamiin Aamin Ya Rab.
“Begitulah rencahnya dunia. Suka duka silih berganti. Pertemuan di dunia hanyalah sementara,” katanya.
Mustafa berkata, beliau redha dengan pemergian sahabatnya itu.
“Termenung seketika, terasa bahagian sendiri semakin dekat sangat, terima kasih diberi nafas seketika untuk bersujud. Aku redha Ya Allah,” katanya.
Idris atau nama penuhnya Mohd Idris Mohd Diah, 61, merupakan antara pelakon veteran yang cukup disegani dalam industri.
Pelakon yang terkenal dengan watak Pak Andak menerusi drama bersiri 7 Hari Mencintaiku 2 itu sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu, pernah muncul dalam drama Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir dan Zahir Tak Terucap.
Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai pustakawan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). -Malaysiapost

