PRESIDEN Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengakui strategi kempen politik menggunakan media sosial tidak memberikan kesan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) berikutan keterbatasan capaian internet.
Mohd Shafie berkata, berikutan itu, sebanyak 80 peratus pendekatan yang digunakannya ketika berkempen di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang adalah dengan cara bertemu sendiri dengan para pengundi.
“Saya gunakan bertemu rakyat 80 peratus. Media sosial ada orang yang tiada telefon pintar. Ada telefon sekalipun tiada liputan. Jadi pasal itu saya lawat kampung-kampung berjumpa mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka dengar suara saya. Mereka juga nampak cahaya muka kita. Ini penting, saya tahun mereka rindukan Warisan,” katanya seperti dilapor Utusan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Bersama Rakyat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mentaritip, Semporna.
Mohd Shapie berdepan saingan lima penjuru termasuk daripada anak buahnya sendiri, Norazman Utoh Nain daripada Bersatu yang bertanding menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN). -Malaysiapost

