PEMIMPIN DAP melahirkan rasa gembira apabila kerajaan mengumumkan pengecualian faedah untuk tiga bulan yang dilaksanakan sektor perbankan melalui program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS).
Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata ia antara terma terkandung dalam memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH).
“Agenda pengecualian bayaran faedah untuk pinjaman bank selama tiga bulan bagi golongan 50 peratus rakyat berpendapatan rendah merupakan salah satu terma dalam MOU Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan PH.
“Berasa gembira ia dapat dilaksanakan dan memberi manfaat dan sedikit kelegaan kepada golongan peminjam tersebut,” kata Setiausaha Organisasi DAP itu menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan program URUS, iaitu program sokongan bantuan bayaran balik pinjaman komprehensif dan ditawarkan kepada pelanggan B50 yang terjejas.
Perdana Menteri berkata program itu dilaksanakan sektor perbankan dalam masa terdekat yang turut merangkumi peminjam dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka berpendapatan kasar kurang dari RM5,880 sebulan.
Menurut Perdana Menteri, kemudahan ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan, pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.
Dalam tempoh itu, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan juga boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
Program URUS dirangka sektor perbankan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). – Malaysiapost

