Ketua Bahagian PBS Paginatan sokong calon Star

0
2

PARTI Solidariti Tanah Airku (Star) mengumumkan menerima sokongan pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS) dalam satu majlis di Paginatan, Ranau, semalam.

Majlis itu diadakan sehari selepas Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan meluahkan rasa kecewa terhadap tindakan PBS yang melanggar perjanjian mengelak pertembungan dengan Star pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Pada Majlis itu, Ketua Bahagian PBS Paginatan, Datuk Dr Othman Minudin bersama ahli jawatankuasa PBS dan ketua-ketua bahagian berkenaan menyatakan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) DUN Paginatan, Datuk Abidin Madingkir dari Star.

Kehadiran mereka dialu-alukan Dr Jeffrey yang juga calon PN bagi kerusi DUN Tambunan.

DUN Paginatan adalah antara kerusi yang menyaksikan pertembungan sesama sendiri calon PN dan parti sekutunya, khususnya di antara PBS dan Star.

Star meletakkan Abidin yang baru menyertai parti itu bulan lalu sebagai calon PN bagi mempertahankan kerusi DUN Paginatan yang dimenanginya atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

PBS pula meletakkan Ahli Majlis Tertingginya, Arthur Sen dalam persaingan sembilan penjuru termasuk dengan satu lagi calon rakan PN iaitu BN, Junaidi Sahat daripada Umno.

Sebelum ini, Dr Othman ada mengeluarkan kenyataan meminta agar kerusi DUN Paginatan diserahkan kepada PBS berdasarkan permintaan ahli parti itu selepas Star mengumumkan akan mencalonkan semula Abidin.

Sementara itu, Abidin dalam maklum balasnya menyifatkan sokongan Dr Othman itu akan mengukuhkan lagi kedudukan Star di Paginatan.

“Dengan kemasukan ini, Star akan menjadi lebih mantap dan kami akan usahakan yang sebaiknya dalam pilihan raya kali ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada mereka kerana memberikan kepercayaan dan sokongan yang padu,” katanya. -Malaysiapost