Ewon mulakan kempen di Kiau

0
1

CALON kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick memulakan kempen di kampung halamannya di Kiau, Kota Belud, semalam.

Kampung Kiau ialah sebuah perkampungan masyarakat Dusun yang terletak di kaki Gunung Kinabalu, di bahagian yang menghadap daerah Kota Belud.

Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) itu mengadakan perjumpaan bersama penduduk Kiau Taburi, Kiau Nuluh dan Kiau Bersatu.

Di Kiau Taburi, Ewon bersama Ahli Parlimen Kota Belud, Isnahraissah Munirah Majilis dan bekas wakil rakyat Kadamaian, Datuk Yapin Gimpoton menemui pengundi di kawasan itu.

Ewon yang juga penyandang DUN Kadamaian kemudian ke Kampung Kiau Nuluh untuk menyerahkan kunci van kepada Persatuan Koonduan Kiau Nuluh Enterprise (KKNE).

Van berkenaan diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika lawatan ke kampung itu pada Disember 2018.

Ketika pelancaran Pusat Pemprosesan Jem & Chutney Nenas Kampung Kiau Nuluh pada Disember 2018, Mohd Shafie meluluskan permintaan Pengerusi KKNE, Florence Duaneh yang mahukan sebuah kenderaan bagi membolehkan produk pengusaha nanas di situ dibawa ke pasaran.

Dalam kempennya, Ewon memberi penjelasan pelbagai isu yang sering dibangkitkan pembangkang selain berkongsi aspirasi dan manifestonya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Manifesto saya hanya satu, iaitu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang merangkumi semua keperluan rakyat Kadamaian di 74 kampung.

“Tanggungjawab utama seorang wakil rakyat ialah menyelesaikan masalah yang ada di depan mata seperti keperluan dan pembangunan rakyat di kawasan yang diwakili,” katanya.-Malaysiapost