Hazulizah sandaran Puteri di PRN Sabah

0
3

PUTERI Umno meletakkan harapan tinggi kepada Hazulizah Md Dani, satu-satunya calon taruhan pergerakan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.

Hazulizah, 35, Naib Ketua Puteri Umno Sabah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong di bawah Parlimen Libaran dalam saingan enam penjuru.

Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan yakin Hazulizah akan menjadi suara terlantang berkaitan isu ketidakadilan dalam kalangan golongan hawa di Sabah.

Malah, beliau menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) itu sebagai pejuang hak wanita.
Zahida berkata, PRN Sabah kali ini bukan saja peluang terbaik buat rakyat Sabah menukar kerajaan kerana, malah mengangkat calon wanita menjadi wakil rakyat.

“Beliau bukan saja boleh menjadi wakil rakyat yang baik di Sekong, malah akan memperjuangkan hak kesaksamaan gender (jantina) dalam pembangunan Sabah.

“Negara yang maju bukan hanya pada pembangunan fizikalnya, tetapi bagaimana ia turut meletakkan wanita setanding lelaki dalam semua bidang.

“Ini termasuk peluang dalam ekonomi, pekerjaan, pendidikan  dan politik,” katanya menerusi Facebooknya hari ini. – MalaysiaPost