Petronas ambil tindakan undang-undang terhadap Sudan

0
2

SYARIKAT petroleum negara, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Sudan selepas kerajaan sementara negara itu mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas pegawainya. 

Menurut kenyataan Petronas, melalui PetroDar Operating Company (PDOC), iaitu sebuah syarikat usaha sama di Sudan, yang mana Petronas mempunyai kepentingan, sedang mengambil tindakan undang-undang untuk membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap bekas pegawainya, berkaitan dengan tuntutan kesatuan sekerja yang dibuat terhadap PDOC.  

“Peguam bebas PDOC sedang dalam proses membatalkan waran tangkap. Perkara ini tidak berkaitan dengan proses perundangan berkaitan tuntutan semula hak Petronas ke atas tanah dan Kompleks Petronas di Khartoum, yang mana Petronas sudah telah memohon timbang tara di Pusat Antarabangsa Penyelesaian Pertikaian (ICSID),” menurut kenyataan itu. 

Terdahulu, memetik laporan portal Turki, Daily Sabah melaporkan, kerajaan peralihan Sudan itu telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus Petronas di negara itu. 

Laporan itu yang memetik sumber berkata, langkah itu dilakukan susulan ketegangan antara kedua-dua pihak selepas Sudan merampas aset milik Petronas di wilayah Khartoum.  

Rampasan melibatkan tanah dan kompleks ibu pejabat syarikat petroleum itu di negara terbabit. 

Menurut laporan media itu pada 5 Oktober lalu, kerajaan peralihan Sudan berhasrat merampas aset-aset milik Petronas yang didakwa diperoleh secara tidak sah ketika pemerintahan bekas pemimpin Omar al-Bashir. 

Susulan penggulingan al-Bashir, kerajaan peralihan itu bertindak meluluskan undang-undang serta membentuk Jawatankuasa Pemerkasaan Penyingkiran, Anti-Rasuah dan Pengambilan Semula Wang yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti semula perjanjian serta mendapatkan semula aset-aset yang didakwa telah diperoleh secara tidak sah di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu. 

Malah, menurut Daily Sabah, pelabur-pelabur asing lain di Sudan termasuk dari Pakistan, Qatar dan Turki turut mengalami keadaan yang sama. 

Petronas sebelum ini menegaskan bahawa hak milik tanah yang turut menempatkan Kompleks Petronas di Khartoum, Sudan telah diperoleh secara sah mengikut undang-undang yang ditetapkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here