Sharifudin Abdul Rahim
KERAJAAN Selangor menyasarkan kadar pengangguran di bawah paras 4 peratus pada tahun hadapan.
Menurut Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman, statistik terkini menunjukkan kadar penangguran pada paras 4.4 peratus dan meningkat mendadak berbanding tahun 2019 yang merekodkan sekitar 2.9 peratus.
Keadaan itu, katanya, adalah sebahagian daripada kesan krisis pandemik Covid-19 yang melanda awal tahun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.

“Bagi mengurangkan kadar penangguran di Selangor, kerajaan negeri meneruskan program Jelajah Selangor Bekerja 2021 ke seluruh negeri bermula dari 23 Oktober sehingga Disember 2021 dengan melibatkan 200 syarikat di negeri ini.
“Pelaksanaan program ini akan menyediakan 25,000 peluang pekerjaan dan memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan dalam indistri aeroangkasa dengan kerjasama Invest Selangor Berhad.
“Program ini akan diadakan secara hybrid dan fizikal di samping mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Selain itu, Mohd Khairuddin berkata, peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor perkhidamatan, pembuatan, elektronik dan pengurusan.
Katanya, Jelajah Selangor akan diadakan di enam kawasan atau daerah yang dikenalpasti seperti Shah Alam, Kuala Selangor, Kuala Kubu Bharu, Hulu Langat dan Petaling.
“Kerajaan negeri berharap rakyat Selangor khususnya golongan belia mengambil peluang ditawarkan bagi mencari kerajaan baru.
“Orang ramai yang mencari peluang pekerjaan boleh membuat pendaftaran di website www.selangorbekerja.com.my dan mendapatkan maklumat lanjut,” katanya. – Malaysiapost

