Terowong SMART lambat buka satu jam?

0
3

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan mahu penjelasan daripada pihak pengurusan Terowong SMART, beroperasi atau tidak ketika banjir kilat melanda ibu kota Kuala Lumpur, petang Khamis lalu.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, satu taklimat akan diaturkan bagi mengetahui sama ada Terowong SMART yang bernilai RM1.8 bilion itu beroperasi atau tidak pada hari kejadian.

Beliau menjelaskan, terdapat dakwaan terowong itu lambat diaktif selama sejam hingga menyebabkan limpahan air sungai.

“Soal banjir tidak boleh orang kata sekali berlaku sekali sibuk. Kita bila berlaku satu perkara, kena tengok secara komprehensif.

“Saya baru minta untuk diaturkan taklimat operasi Terowong Smart. Saya hendak tahu betul-betul Terowong SMART berfungsi seperti mana dirancang kerana sudah berbilion dibelanjakan.

“Laporan awal mengatakan tiada perkara yang abnormal. Malah ada air pun cepat surut dengan adanya Terowong Smart. Alhamdulillah.

“Tapi ada pula yang kata lambat sikit hendak buka mod 1, 2, 3 dan 4 dan ada sedikit kelewatan dalam satu jam katanya. Oleh itu, sungai jadi melimpah dan cepat surut kerana Terowong SMART. Wallahualam. Jadi saya perlu dapatkan penjelasan lebih lanjut,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaGazette.

Terdahulu, hujan lebat yang bermula pada kira-kira jam 1.30 tengah hari Khamis lalu telah mengakibatkan lima kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu di Lebuh Ampang di pusat bandar raya, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak). – Malaysiapost