INDEKS tadbir urus Malaysia akan diperkenalkan bagi mengukur prestasi tadbir urus jentera kerajaan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutama membabitkan strategi dan inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagi memastikan RMK-12 dilaksanakan dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.
Menurutnya, kerajaan juga sedang memuktamadkan Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) di bawah penyelarasan Unit Perancang Ekonomi (UPE) Jabatan Perdana Menteri (JPM), dalam memastikan pencapaian dalam pelan rancangan berkenaan.
“PPD ini menjajarkan strategi dan inisiatif dengan petunjuk prestasi (KPI) setiap kementerian dan agensi penyelaras serta pelaksana yang bertanggungjawab.
“Ia akan disiapkan pada November ini dan satu Jawatankuasa Pemantau akan ditubuhkan dan akan dipengerusikan oleh saya sendiri untuk memantau pelaksanaan RMK-12 dengan rapi,” katanya ketika membentangkan usul RMK-12 di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata, negara telah hampir berjaya dalam perjuangan memerangi impak pandemik Covid-19, namun semua pihak tidak harus leka dan alpa kerana Covid-19 masih belum berakhir.
“Kita harus bersedia untuk memasuki fasa endemik dan meneruskan kehidupan dengan kebiasaan baharu.
“Demi Keluarga Malaysia, kerajaan akan meneruskan usaha untuk melindungi nyawa dan kehidupan di samping memberikan tumpuan kepada agenda untuk memulihkan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara,” katanya.
Beliau berkata, Bajet 2022 akan dibentangkan pada 29 Oktober ini oleh Menteri Kewangan dan akan memperincikan butiran program dan projek bagi melaksanakan strategi dan inisiatif RMK-12 serta akan menyokong pencapaiannya.
“Saya optimis dengan pemulihan ekonomi pada masa ini serta agenda pembangunan negara dalam RMK-12 dan inisiatif Bajet 2022 yang akan diumumkan sedikit masa lagi kita mampu memacu negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan,” katanya.
Ismail Sabri berkata, krisis yang dialami ketika ini telah menyatukan semua pihak dan memberi peluang untuk membuat perubahan secara inklusif.
“Saya berharap Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang telah dipersetujui pada 13 September lalu akan terus dihormati oleh kedua-dua pihak selaras dengan pendekatan Keluarga Malaysia
“Persefahaman ini akan membolehkan kita memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha memerangi pandemik dan meletakkan negara pada asas pertumbuhan yang lebih kukuh,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak berganding bahu merealisasikan matlamat RMK-12 dengan mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat demi masa depan Keluarga Malaysia yang lebih baik. – Malaysiapost

