PENGURUS sebuah pusat jagaan warga Singapura yang dipercayai terbabit dalam kes memukul seorang kanak-kanak autisme di Bandar Baru Ampang, baru-baru ini akan didakwa di mahkamah pada Rabu ini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata siasatan berhubung kes itu sudah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, hari ini.
Menurutnya, susulan itu pihaknya mendapat arahan untuk menuduh suspek dengan dua pertuduhan.
“Polis terima arahan untuk menuduh wanita berkenaan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 pada 13 Oktober ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, hukuman bagi kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak, jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun atau denda.
“Bagi Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan tiada pas sosial tamat tempoh pula, jika sabit kesalahan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Tertuduh juga boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan jika sabit kesalahan,” katanya.
Malaysiapost sebelum ini melaporkan seorang bapa membuat laporan polis mendakwa anak lelakinya yang juga kanak-kanak autisme dicederakan ketika berada dalam jagaan sebuah pusat jagaan di Bandar Baru Ampang, pada 1 Oktober lalu.
Menurut Tengku Aminuddin Shafiq Tengku Ibrahim, 37, melalui video yang dirakam daripada kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu menunjukkan anaknya diheret atas lantai oleh seorang wanita.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita warga Singapura berusia 51 tahun Sabtu lalu. – Malaysiapost

