Perbelanjaan tambahan RM45 bilion diluluskan

0
2

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Covid-19) untuk menambah perbelanjaan sebanyak RM45 bilion.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun meluluskan usul itu menerusi undi suara selepas menyaksikan lebih suara bersetuju berbanding tidak bersetuju selepas bacaan kali ketiga.

RUU berkenaan yang dibentangkan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, telah menarik minat lebih 30 orang wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Kesemuanya dilihat bersetuju dengan pindaan RUU berkenaan, namun menggesa kerajaan membelanjakan dana dengan berhemah.

Tengku Zafrul berkata, anggaran perbelanjaan tambahan itu merangkumi RM12.7 bilion untuk menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah (PSU), RM15.8 bilion bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan projek berskala kecil bagi kontraktor G1 hingga G4 (RM2 bilion).

Selain itu, Geran PRIHATIN PKS (RM3.6 bilion), peningkatan had amaun pinjaman mikro kredit (RM1 bilion), sokongan bantuan sosial untuk golongan mudah terjejas (RM5.9 bilion) dan dana perbelanjaan berkaitan Covid-19 kepada Kementerian Kesihatan (RM4 bilion).

Pindaan RUU itu juga bertujuan menaikkan had statutori hutang semasa negara daripada 60 kepada 65 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook/Tengku Zafrul

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here