HARGA tiket penerbangan bagi perjalanan ke Sabah dan Sarawak masih tinggi, malah ada yang lebih mahal berbanding harga yang ditetapkan pada 2019.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong, berkata ia berdasarkan pemantauan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) bagi tempoh antara 26 September 2021 sehingga 2 Oktober 2021.
“Untuk perjalanan selepas 8 Oktober 2021, MAVCOM mendapati penerbangan di antara Kuala Lumpur ke Kuching telah merekodkan harga tiket yang lebih rendah iaitu di antara 29 peratus sehingga 74 peratus berbanding harga pada 2019.
“Manakala laluan lain seperti Kuala Lumpur-Miri dan Kuala Lumpur – Sibu, masih lagi merekodkan harga yang tinggi iaitu di antara RM530 hingga RM1,600 untuk sehala.
“Bagi laluan Semenanjung ke Sabah pula, untuk tempoh sama, MAVCOM mendapati harga tiket yang lebih tinggi di antara 8 peratus hingga 163 peratus direkodkan berbanding harga tiket pada 2019,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) mengenai langkah kerajaan dalam mengurangkan harga tiket penerbangan dari Sarawak ke Semenanjung dan Sabah yang sangat mahal ketika pandemik Covid-19.
Henry Sum menjelaskan, harga tiket penerbangan yang tinggi merupakan kesan daripada pelaksanaan had kapasiti penerbangan.
“Pelaksanaan had kapasiti ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri untuk menangani penularan wabak Covid-19.
“Pada ketika itu, kekerapan penerbangan ke Sarawak telah berkurangan sebanyak 94 peratus berbanding semasa tempoh sebelum wabak Covid-19.
“Manakala bagi penerbangan antara Semenanjung dan Sabah, kekerapan penerbangan telah berkurangan sebanyak 89 peratus berbanding semasa tempoh sebelum wabak Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan pada 24 September lalu bersetuju membenarkan peningkatan kekerapan penerbangan bagi mana-mana laluan di antara Semenanjung dan Sarawak daripada 22 penerbangan seminggu kepada 87 penerbangan seminggu.
“Pada masa sama, kerajaan Sarawak juga telah bersetuju membenarkan syarikat penerbangan menyediakan perkhidmatan tanpa had kapasiti penumpang.
“Peningkatan kekerapan dan kelonggaran had kapasiti ini telah berkuat kuasa mulai 8 Oktober 2021,” katanya.
Menurutnya, harga tiket penerbangan bagi laluan-laluan ke Sabah dan Sarawak dijangka akan kembali ke paras purata apabila jumlah kekerapan penerbangan beroperasi seperti biasa.
“Sehubungan dengan itu, kerajaan akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket penerbangan bagi semua laluan penerbangan domestik termasuk laluan-laluan antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak,” katanya.
Katanya, syarikat penerbangan secara amnya menawarkan bayaran balik atau refund kepada penumpang terkesan daripada pembatalan penerbangan akibat penularan wabak Covid-19.
“Pada kebiasaannya, pilihan diberikan kepada penumpang untuk menerima bayaran balik dalam bentuk baucar perjalanan atau kredit akaun yang boleh digunakan untuk perjalanan yang ingin dilakukan pada masa hadapan,” katanya. – Malaysiapost

