Rentas negeri: AirAsia, Malaysia Airlines tawar potongan harga tiket

0
3

SYARIKAT penerbangan tidak melepaskan peluang menawarkan potongan harga untuk menarik lebih ramai pelancong menggunakan perkhidmatan mereka selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata syarikat tambang murah itu menawarkan tiket sehala kepada pelancong dengan harga serendah RM12.

Katanya, AirAsia Malaysia menyambut baik kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Katanya, kerajaan berhak mendapat penghargaan terbesar atas keberkesanan program vaksinasi kebangsaan yang kini menyaksikan kadar peratusan yang selamat untuk rentas negeri dilakukan.

“AirAsia akan terus bekerjasama dengan semua pihak yang berkenaan, kerajaan Persekutuan dan negeri, pihak berkuasa penerbangan awam dan kesihatan untuk memastikan prosedur pematuhan dijalankan untuk setiap penerbangan kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Malaysia Airlines tidak ketinggalan menawarkan tambang serendah RM59 sehala dan diskaun sehingga 50 peratus untuk pakej MHholiday.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airlines, Kapten Izaham Ismail berkata, kebenaran perjalanan rentas negeri akan memberi perkembangan baru terhadap industri tersebut.

“Kami menerima tempahan awal memberangsangkan, mencerminkan keyakinan pelanggan dan permintaan tinggi untuk terbang bersama Malaysia Airlines.

“Kami dengan sukacita melaporkan bahawa Malaysia Airlines mencatatkan peningkatan 500 peratus dalam tempahan penerbangan kami di dalam negeri, tempahan tertinggi setelah pembukaan semula Langkawi,” katanya memetik Bernama.

Semalam kerajaan mengumumkan kebenaran pergerakan rentas negeri di seluruh negara mulai hari ini kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Perdana Menteri berkata kebenaran itu dibuat selepas kadar vaksinasi penduduk dewasa negara mencapai 90 peratus.

Selain rentas negeri, Ismail Sabri juga mengumumkan kebenaran untuk rakyat Malaysia melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk aktiviti pelancongan tanpa melalui permohonan MyTravelPass dari Jabatan Imigresen, dengan syarat tertentu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here