Debat: Ka Siong minta Guan Eng bersabar

0
2
MCA deputy president Datuk Seri Dr Wee Ka Siong

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong meminta Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bersabar menanti debat mereka berdua berhubung isu dasar kabotaj negara.

Ka Siong menerusi satu hantaran di Facebooknya memberi jaminan perdebatan itu tetap akan berlangsung seperti dijanjikannya.

“Sabarlah YB Lim Guan Eng, perdebatan kita pasti akan diadakan seperti yang dijanjikan. Sekarang ini kami semua di kementerian sedang sibuk menyiapkan Belanjawan 2022.

“Selain itu, kami perlu mengadakan lawatan kerja rasmi yang lebih penting. Kita boleh bersemuka selepas Belanjawan 2022 dibentangkan pada 29 Oktober 2021 nanti. YB pilihlah sendiri hari apa yang YB mahu,” katanya.

Sehubungan itu, Presiden MCA itu berkata tindakan berterusan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berterusan menyerangnya dengan pelbagai isu sebelum debat bermula hanya mencetuskan perang kata-kata sahaja dan mengalihkan perhatian daripada kebenaran sebenar.

“Sekiranya YB mempunyai apa-apa yang ingin diperkatakan, simpanlah dulu dan kemukakan ketika kita bertemu untuk perdebatan nanti. Saya akan jawab bila tiba masanya,” katanya lagi.

Pada 30 September lalu, Ka Siong secara terbuka mencabar Guan Eng untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.

Cabaran itu dibuat susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh Ka Siong berhubung isu terbabit di Dewan Rakyat.

Guan Eng kemudian mencadangkan 23 Oktober ini sebagai tarikh debat berkenaan, yang mana tempat dan masanya akan ditetapkan oleh Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here