PASTI ramai seronok dengan kebenaran merentas negeri, sudah terlalu lama rindukan kampung halaman mahu bertemu ahli keluarga dan sanak saudara,” kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Presiden Umno itu menasihati orang ramai supaya mematuhi saranan kerajaan agar sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) dan lakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan penularan wabak itu.
“Bagi mereka yang bergejala, seeloknya tangguhkan dahulu sehingga anda benar-benar sembuh daripada sebarang simptom. Pastikan kita bebas jangkitan.
“Kita telah berkorban begitu lama, maka tidak rugi bersabar untuk seketika lagi sebelum kita benar-benar selamat untuk ayah, ibu, suami, isteri, adik beradik dan rakan taulan di kampung.
“Marilah kita bersikap bertanggungjawab dalam perkara penting ini. Jangan kerana keseronokan yang singkat, tetapi penyesalannya tidak berkesudahan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyarankan orang ramai untuk mengatur perjalanan masing-masing bagi mengelakkan kesesakan yang diramal akan berlaku di kebanyakan tempat.
“Ramai menjangkakan pengumuman kebenaran rentas negeri ibarat ‘the biggest holidays’ atau perayaan terbesar untuk rakyat Malaysia.
“Begitu ramai akan memulakan pergerakan ke sana ke sini. Maka berhati-hatilah di jalan raya dan elakkan tempat yang padat dengan orang ramai untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.
“Justeru, kita juga berharap pihak berwajib telah bersiap siaga untuk mengendalikan kesesakan lalu lintas bagi memudahkan urusan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

