MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui timbul kebimbangan selepas kerajaan memberikan pelbagai kelonggaran untuk rakyat termasuk membenarkan rentas negeri bermula hari ini
Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menangani sebarang keadaan, termasuk kemungkinan kes serius Covid-19 kembali melonjak.
“Akhirnya banyak perkara sekarang ini terpulang kepada tingkah laku orang ramai, KKM memang tak boleh cuci tangan, kita sentiasa sedia membantu, itu moto kita, walau apa terjadi, KKM sentiasa ada di sini.
“Memang kalau tanya saya sebagai Menteri Kesihatan risau atau tidak dengan kebebasan yang kita beri ini, sebagai manusia memang saya risau. Sebagai manusia juga saya dilatih bersedia dengan keadaan terburuk, tapi lebih baik saya bersedia dengan keadaan terburuk berbanding saya leka, kata boleh ‘enjoy’…sudah boleh rentas negeri tak ada masalah.
“Jadi saya dengan rakan-rakan Ketua Pengarah, Ketua Setiausaha di KKM, kita bersiap sedia, kita harap tidak akan berlaku (peningkatan kes teruk) dan kita harap walaupun kes naik, tapi kes yang ringan sahaja, itu yang kita nak lihat, sebab bagi, garis merah yang tak boleh dipintas apabila sistem kesihatan awam kita lumpuh,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Beliau berkata demikian dalam rancangan temubual bersama Agenda Awani. Malam tadi.
Khairy juga berharap sistem kesihatan awam tidak lumpuh dan jika ia berlaku, pihaknya perlu mengambil langkah drastik.
Beliau turut mengingatkan orang ramai tidak leka dengan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Sekarang ini, kerajaan telah buat segalanya, sistem kesihatan, merawat, membantu. Mungkin hari ini doktor di Malaysia berkorban di mana mereka berhempas pulas di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), hospital, kalau kita nak hargai pengorbanan doktor, jururawat, petugas barisan hadapan yang telah membantu kita.
“Jadi bila dapat kebebasan ini, jangan pentingkan diri, janganlah curi-curi tak ada vaksin masuk kedai makan, jangan kita ambil tindakan tak payah buat saringan kendiri bila pergi melawat ibu bapa di kampung.
“Kalau kita pentingkan diri, sekiranya tak patuh SOP, kalau tak amalkan pendekatan nasihat kesihatan awam, maka hari ini yang menjadi sangat manis mungkin akan bertukar menjadi pengalaman ngeri, saya harap ia tak berlaku,” katanya.
Kerajaan semalam mengumumkan kebenaran pergerakan rentas negeri di seluruh negara bermula hari ini kecuali kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – Malaysiapost

