Polis buru 2 suspek curi dalam kereta

0
2

POLIS sedang mengesan dua lelaki yang melarikan sejumlah barangan bernilai RM2,000 di dalam kereta milik seorang wanita di hadapan rumahnya dalam kejadian di Pandamaran Jaya, Klang pada 7 Oktober lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 7 malam pada Khamis dan tular menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 39 saat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata ketika kejadian mangsa yang berada dalam kenderaan di hadapan rumahnya itu secara tiba-tiba didatangi seorang lelaki yang memakai baju warna putih.

“Suspek kemudiannya terus membuka pintu kereta sebelum mengambil beg galas mengandungi dompet, tiga unit telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM300.

“Suspek kemudiannya melarikan diri dengan sebuah motosikal yang ditunggang rakannya.

“Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM2,000.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Shamsul Amar meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya kepada Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau hubungi terus Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here