BN ramuan terbaik untuk kesejahteraan rakyat Malaysia, kata Zahid

0
2

BARISAN Nasional (BN) masih ramuan terbaik untuk sebuah kesejahteraan hidup dan ekonomi bagi rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, ia telah terbukti dan pernah dinikmati oleh rakyat Malaysia ketika era 60 tahun pemerintahan BN.

Katanya, BN merupakan muafakat yang membentuk kesatuan masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

“Buktinya adalah kebersamaan rakyat berbilang bangsa serta agama seperti yang kita saksikan di sekeliling kita pada hari ini.

“Kerana itu BN perlu kembali diberi mandat kukuh pada PRU-15 demi memastikan keharmonian itu dapat diperkasa,” katanya di Facebook, hari ini.

Justeru, Ahmad Zahid menyeru muafakat yang pernah dibentuk sejak merdeka itu diperkasakan semula bagi menjamin masa hadapan negara.

“Kemuafakatan rakyat penting bagi memastikan Malaysia bangkit dan makmur daripada kegagalan yang begitu teruk.

“Bicara tentang BN membentuk kemuafakatan bukan retorik kerana ia turut terkandung dalam dokumen rasmi penubuhannya.

“Dalam Fasal 5 Perlembagaan BN tertera dengan jelas berhubung tujuan BN yang meraikan kemuafakatan Malaysia,” jelasnya.

Mengulas mengenai Perlembagaan BN, Ahmad Zahid berkata, BN sentiasa memastikan untuk memupuk dan mengekalkan satu bangsa Malaysia yang hormoni dan bersatu-padu.

“Berusaha untuk mencapai pembangunan jasmani dan rohani dan mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua di dalam Persekutuan dan untuk menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara.

“Berusaha untuk mewujudkan suatu masyarakat adil dan saksama. Berusaha untuk mengeratkan lagi perhubungan di kalangan Ahli Barisan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here