Parti Kuasa Rakyat nafi didalangi PM, pihak tertentu

0
1
Pelancaran parti politik baharu, Parti Kuasa Rakyat diterajui Kamarazaman Yaakob iaitu abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di The Diplomat 10 Perkarangan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

PRESIDEN Penaja Parti Kuasa Rakyat (Kuasa Rakyat) Kamarazaman Yaakob menafikan parti itu didalangi oleh pihak tertentu termasuk adiknya yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kamarazaman berkata, parti itu tidak didorong atau diatur oleh sesiapa, sebaliknya dibentuk bersama rakan-rakannya dalam memperjuangkan hak rakyat miskin di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, Kuasa Rakyat telah membuat keputusan untuk menjadi parti mesra kerajaan kerana apa yang ingin diperjuangkan tidak mampu tanpa pendekatan tersebut.

Pelancaran parti politik baharu, Parti Kuasa Rakyat diterajui Kamarazaman Yaakob iaitu abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di The Diplomat 10 Perkarangan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

“Menjadi hasrat kami untuk melahirkan sebuah parti berbilang bangsa dan kaum yang benar-benar demokratik. Akhirnya saya menemui rakan-rakan progresif di negara ini dan saya membentuk parti yang saya lunturkan.

“Kami (beliau dan Ismail Sabri) mempunyai kesamaan oleh kerana kami datang daripada anak seorang penoreh getah, sudah tentulah hati nurani kami dekat kepada rakyat miskin,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Kamarazaman berkata, parti itu akan berjuang dalam menuntut hak-hak dan keperluan rakyat termasuk anak muda melibatkan beberapa perkara asas yang diperlukan.

“Iaitu antaranya adalah pelajaran percuma, rawatan kesihatan percuma, perumahan, peluang pekerjaan dan penumpuan terhadap para petani menjadi agenda penting bagi parti itu.

Pelancaran parti politik baharu, Parti Kuasa Rakyat diterajui Kamarazaman Yaakob iaitu abang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di The Diplomat 10 Perkarangan Tun Ismail, Kuala Lumpur.

“Kuasa Rakyat akan memperjuangkan dasar pelajaran percuma, dengan menghapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan semua bentuk hutang-hutang PTPTN dan digantikan dengan cara biasiswa , dermasiswa atau sewaktu dengannya.

“Penghapusan hutang ini hanya terpakai kepada anakanak golongan B40 dan M40. Begitu juga dalam soal pemberian segala bentuk biasiswa, hanyalah kepada anak-anak B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak boleh menjayakannya dengan penuh berkesan, tiada sebab kerajaan kini tidak menemui jalan dalam melaksanakannya.

“Lebih-lebih lagi, kepimpinan hari ini sentiasa mendengar denyut nadi penghidupan rakyat,” katanya.

Beliau yang juga dikenali sebagai Bung Zaman berkata, parti baharu ini akan menjadikan perkhidmatan kesihatan percuma sebagai salah satu agenda perjuangan dalam menjaga penghidupan rakyat.

“Dasar itu akan disasarkan kepada golongan B40 dan M40 yang menjadi tunjang masyarakat. Jurang kehidupan antara rakyat miskin dengan yang mewah semakin ketara dan jelas di mana setiap tahun ianya semakin melebar.

“Mengapa dibenarkan hanya segelintir dari rakyat menikmati kekayaan negara, sedangkan majoriti rakyat tidak merasainya atau sekadar memperoleh hanya untuk menyambung penghidupan .

“Kerana ketidakadilan inilah, maka terdapat ramai rakyat yang tidak mempunyai rumah yang sempurna. Bersandarkan realiti ini, Kuasa Rakyat memperjuangkan rumah percuma kepada rakyat B40 yang tidak mempunyai rumah sempurna,” katanya.

Tambahnya, Kuasa Rakyat merupakan sebuah kanvas besar bagi golongan muda.

“Anak-anak muda boleh dari sekarang mencorak warna hala tuju parti itu. Kami generasi lama yang sarat dengan perjuangan marhaenisme ini dengan dada yang terbuka dan fikiran yang menerima mahu menawarkan perjuangan kami kepada anda sekalian,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here