MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengingatkan orang ramai manfaatkan kelonggaran merentas negeri dengan penuh rasa tanggungjawab.
Beliau berkata, selain terus mematuhi SOP, semua pihak mesti mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS iaitu ‘test, report, isolate, inform, seek’.
“Alhamdulillah, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rentas negeri dibenarkan bermula esok.
“Tiada lagi halangan untuk pulang bertemu ibu bapa dan ahli keluarga di kampung. Namun amat penting untuk manfaatkan kelonggaran ini dengan penuh rasa tanggungjawab,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Hishammuddin meminta orang ramai menyebarkan amalan TRIIS kepada ahli keluarga dan kenalan masing-masing supaya pendekatan itu menjadi rutin kendiri rakyat.
“Sebarkan tentang TRIIS kepada ahli keluarga, sahabat dan seramai mungkin kenalan supaya ia menjadi rutin kendiri. Take care everyone!,” katanya.
Terdahulu, kerajaan bersetuju memberi kebenaran untuk rakyat Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri bermula esok.
Perdana Menteri berkata, dengan keputusan itu rakyat bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya.
“Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di bawah Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah mencapai 90 peratus.
“Data terkini akan dikemas kini di laman sesawang COVIDNOW pada tengah malam ini,” katanya. – Malaysiapost

