KETUA Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan menafikan dakwaan bahawa keputusan Umno menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu hanyalah pandangan peribadi pemimpin tertentu parti itu.
Shahril berkata demikian merujuk kenyataan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mendakwa keputusan menolak kerjasama itu diyakini hanya diwakili suara minoriti pemimpin parti itu.
Beliau berkata, kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu tidak benar kerana ketetapan berkenaan diputuskan pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU2020) lalu.
“Kenyataan ini tak benar kerana apapun pandangan/harapan peribadi sesiapa, PAU2020 telah melahirkan suatu ketetapan.
“Maka tak tepat untuk mencerminkan ia sebagai hanya pandangan segelintir pemimpin. Tak mahu ulas perkara ini non stop, tapi bila ada kenyataan salah, perlu diperbetul,” ciapnya di Twitter.
Terdahulu, Ahmad Faizal berkata, beliau yakin keputusan Umno menolak untuk bekerjasama Bersatu khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diyakini hanya diwakili suara minoriti pemimpin parti itu.
Bekas Menteri Besar Perak itu yakin pendirian itu merupakan pandangan peribadi pemimpin tertentu dalam Umno dan bukannya majoriti.
Menurutnya, Bersatu sedia bergandingan dengan sesiapa juga yang mengikuti atau bersama dengan perjuangan mereka.
“Jadi, kalau ada yang kata tak nak bersama dengan kita, saya percaya mungkin itu pandangan peribadi bukan pandangan majoriti wadah yang mereka wakili.
“Dalam hidup ini memang kadang-kadang ada orang nak kawan dengan kita dan kadang-kadang sebaliknya. Mungkin kerana cemburu sebab kehebatan dan kelebihan yang ada pada kita.
“Menjawab kepada soalan itu, kebanyakan pemimpin di atas sana tidak ada masalah untuk bekerjasama mungkin ada satu dua orang yang enggan,” katanya. – Malaysiapost

