SEORANG tukang cuci hotel yang mempunyai 19 rekod jenayah sejak 21 tahun lalu ditahan kerana menyamar sebagai anggota polis di Kampung Klang Gate Bharu di Gombak, Selangor, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata suspek ditahan kira-kira jam 7.30 petang yang turut menemui dokumen menyerupai kad kuasa polis, jaket tertera tulisan polis, lencana integriti amalan kita, ‘collar badge’ polis dan sebilah pedang samurai panjang.
“Semakan mendapati suspek mempunyai 19 rekod lampau sejak tahun 2000 dalam pelbagai kesalahan berkaitan jenayah dan dadah, antaranya samun, pecah rumah dan menyamar polis,” katanya dalam kenyataan.
Mohamad Farouk berkata, semakan lanjut mendapati suspek mempunyak dua anak berusia sembilan dan 11 tahun
“Semasa tangkapan dilakukan suspek bersama salah seorang anak berada di rumah, manakala isterinya keluar bekerja,” katanya. – Malaysiapost

