KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil menyokong keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memberi perhatian berhubung kes kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Menurutnya, beliau juga bersetuju semakan semula undang-undang berkenaan kes Pulau Batu Puteh dan pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas menerusi buku terbitannya sebelum ini yang ada kaitan dengan kes-kes berprofil tinggi.
“Saya mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kabinet berkenaan siasatan kes kematian arwah Adib, semakan semula undang-undang berkenaan kecuaian kerajaan terhadap kes Pulau Batu Puteh,
“…dan siasatan terhadap dakwaan pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas dalam bukunya yang mengaitkan dan menunjukkan campur tangan politik dan pendakwaan terpilih ke atas kes-kes berprofil tinggi oleh beberapa pemimpin politik kerajaan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah.
“Alhamdulillah kini kerajaan akhirnya memberi perhatian kepada kes-kes ini dan mula mengambil tindakan. Saya harap keadilan akan dapat diperoleh dan ditegakkan dalam ketiga-tiga kes ini,” katanya dalam hantaran Facebook.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Muhammad Adib.
Perdana Menteri, berkata jawatankuasa khas itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Malaysiapost

