CUEPACS menyifatkan penubuhan Jawatankuasa Khas untuk menyiasat semula kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim memberi harapan keadilan kepada keluarga dan warga perkhidmatan awam.
Presidennya Adnan Mat, berkata CUEPACS menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian Muhammad Adib.
“Sudah tentu harapan kami semua tidak pernah padam dalam memastikan usaha mencari keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.
“Kes yang melibatkan arwah Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, CUEPACS berharap tempoh enam bulan diberikan kepada anggota jawatankuasa yang itu digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul disebalik kematian Muhammad Adib.
Beliau berkata, dapatan daripada siasatan kes itu perlu dimaklumkan kepada umum bagi menjamin ketelusan siasatan.
“CUEPACS menaruh harapan yang tinggi agar keadilan untuk arwah Muhammad Adib dituntut kerana ia penting bagi memastikan kes seumpama itu tidak berulang pada masa akan datang terutama melibatkan penjawat awam yang bertugas demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata, CUEPACS juga berharap isu berkenaan tidak terus dijadikan modal politik atau isu perkauman demi kepentingan sesetengah pihak.
“Sebaliknya fokus utama yang perlu diberikan perhatian adalah bagi mencari pesalah yang terlibat, menuntut keadilan serta memberi jaminan perkara sama tidak berulang kepada mana-mana penjawat awam pada masa akan datang,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.
Perdana Menteri, berkata jawatankuasa khas itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Beliau berkata jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Malaysiapost

