“ALHAMDULILLAH, kami keluarga rasa gembira dengan khabar ini, Apa yang kami sekeluarga mahu, sudah nampak jalan,” itu reaksi bapa anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Kassim Abdul Hamid, 65, menzahirkan kesyukuran itu susulan pengumuman kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi membuat siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap Allahyarham.
Kasim berkata, seluruh ahli keluarga meletakkan harapan tinggi terhadap penubuhan jawatankuasa itu dan ia adalah satu berita yang dinanti-nantikan selepas tiga tahun mereka memperjuangkan keadilan kematian anak keduanya itu.
Katanya, dia sebelum ini hanya mendengar desas-desus mengenai penubuhan jawatankuasa berkenaan namun tidak pasti pelaksanaannya.
“Alhamdulillah, kami keluarga rasa gembira dengan khabar ini, ia satu penghargaan buat kami. Apa yang kami sekeluarga mahu, sudah nampak jalan.
“Harapan kami tidak pernah putus, dari dulu lagi memang kami berharap keadilan buat Muhammad Adib,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Menurutnya, beliau berharap semua individu yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan akan menjalankan tugas masing- masing dengan telus dan bersungguh- sungguh.
“Apabila sebut jawatankuasa khas, maksudnya memang ia khas untuk siasat kematian Muhammad Adib, jadi kami harap akan ada hasil yang menggembirakan daripada jawatankuasa ini.
“Saya juga bersyukur kerana penubuhan ini membuktikan kerajaan tidak lepas tangan dan berdiam diri dengan kematian anak saya,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Muhammad Adib.
Perdana Menteri, berkata penubuhan jawatankuasa khas itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar. – Malaysiapost
Kredit foto: Sinar Harian

