Norhizam diminta pulangkan kereta rasmi

0
2

SETIAUSAHA Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Ts Kamel Mohamad, meminta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee untuk memulangkan semula aset kerajaan.

Beliau berkata, pemulangan itu selari dengan tindakan bekas EXCO kerajaan negeri berkenaan yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali pada Isnin lalu.

“Mewakili kerajaan negeri saya merayu dan mohon kerjasama mantan EXCO menyerahkan semula aset kerajaan.

“Aset itu merupakan kenderaan rasmi yang sebelum ini diamanahkan oleh kerajaan negeri kepada beliau selama tempoh memegang jawatan sebagai ADUN dan EXCO,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, apa yang membimbangkan tindakan Norhizam yang enggan memulangkan aset tersebut akan mengganggu fokus serta usaha-usaha kerajaan negeri untuk mengharmoni dan mensejahterakan rakyat.

“Sekiranya lebih cepat Datuk Norhizam memulangkan kereta rasmi, lebih cepatlah saya bersama-sama penjawat awam dapat fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat, sekali gus merancakkan ekonomi negeri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, hanya bekas ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang telah bertindak memulangkan aset kerajaan pada Khamis lalu.

Manakala ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad meminta untuk menangguhkan pemulangan aset hingga Isnin depan.

Isnin lalu, empat ADUN Melaka mengumumkan meanrik sokongan mereka terhadap Sulaiman dan kerajaan negeri.

Selain Norhizam, tiga yang lain ialah, ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan.

Susulan itu kerajaan negeri pimpinan Sulaiman Md Ali tumbang kerana hilang sokongan majoriti. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here