TULAR sejak semalam, sekeping gambar membabitkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad yang didakwa bercuti dengan kapal mewah bersama isteri di Pulau Langkawi.
Gambar yang dimuatnaik di laman Instagram kingshah_captainks itu mendapat perhatian netizen, yang mempertikaikan tindakan Rodzi yang didakwa bercuti bersama isteri dengan bot mewah ketika rakyat sedang menghadapi Covid-19.
Tampil menjelaskan perkara itu, pemilik akaun Instagram berkenaan yang juga pemilik kapal layar yang dinaiki pemimpin kerajaan itu, berkata kapalnya yang diberi nama Kamilia itu disewa oleh Rodzi pada 1 Oktober lalu.
“Assalamualaikum semua. Gambar ini telah menimbulkan kontroversi. Datuk Rodzi telah sewa kapal saya yang tak seberapa ni pada 1 Oktober lalu dan membawa tiga ahli keluarga serta enam staf beliau untuk menikmati keindahan sunset pada 5.30 petang hingga 7 petang.
“Datuk tempah melalui telefon dan bayar secara tunai bila bertemu di jeti. Salah ke Datuk nak support bisnes kami yang hampir nak berkubur di sebabkan Covid 19?” soalnya dalam satu hantaran di Instagram.
Menurutnya, semua yang berada di kapalnya itu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dan hanya membuka pelitup muka beliau ketika dia ingin merakam gambar mereka kerana sudi menyewa kapalnya.
“Takpalah, hikmahnya saya dapat publisiti sikit. Harapnya anda semua kalau datang Langkawi, sudilah ‘check out cruise’ kami yang simple ini, 100% bumiputera.
“Harga pakej pun mampu milik. Nama kapal saya ni Kamilia, sempena arwah anak saya yang meninggal dunia kerana leukemia. Semoga kita semua dilindungi. Amin,” katanya. – Malaysiapost

