KES saman kerajaan terhadap keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan syarikat milik mereka bagi melucutkan hak hampir RM16 juta ditetapkan bagi pendengaran pada 3 Januari 2022.
Penetapan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin pada prosiding kes hari ini yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Dona Liyanna Sabariah Azmi dan peguam S K Shaarvin Raaj mewakili keluarga Azeez.
Memetik laporan Utusan Online, Muhammad Jamil turut meminta semua pihak memfailkan hujahan tertulis masing-masing dalam tempoh dua minggu sebelum tarikh pendengaran.
Responden-responden terdiri daripada isteri Abdul Azeez, Datin Seri Khadijah Mohd. Noor serta empat anak mereka termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, milik syarikat mereka, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd.
Penuntut adalah Maybank Islamic Berhad yang diwakili oleh peguam Choy Kay Chun.
Dalam saman difailkan pada September 2019, kerajaan memohon untuk melucut hak hampir RM16 juta daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez, empat anak mereka termasuk satu lot kedai.
Pada 18 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan keluarga berkenaan untuk menangguhkan prosiding saman kerajaan itu sementara perbicaraan kes rasuah Abdul Azeez yang sedang berjalan di Mahkamah Sesyen selesai.
Abdul Azeez, 54, kini dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang hampir RM140 juta.
Perbicaraan itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu keputusan rayuan berhubung pembatalan semua pertuduhan itu di Mahkamah Rayuan. – Malaysiapost

