PELAKON popular atau yang memiliki jutaan pengikut di media sosial belum tentu dapat mengangkat martabat sesuatu karya itu menjadi baik.
Sebaliknya, pengarah dan pelakon versatil, Nam Ron berkata karya yang baik mampu menjulang barisan pelakon yang membintangi drama atau sesebuah filem tersebut.
“Karya yang baik, yang mempunyai roh akan sendirinya menarik orang ramai menontonnya. Gaya penceritaan baik mampu menjulang sesuatu karya itu menjadi terbaik.

“Ini telah terbukti menerusi drama Squid Game, tanpa pelakon bintang yang mempunyai ‘follower’ berjuta di media sosial, tapi mampu menarik orang ramai menontonnya kerana apa… Kerana jalan penceritaan yang baik, naskah karya lain daripada yang lain,” katanya kepada Malaysiapost.
Mengulas mengenainya, pengarah filem One Two Jaga itu berkata, drama berasal dari Korea Selatan itu membuktikan karya yang baik bukan sahaja menarik penonton di negaranya sendiri, malah di seluruh dunia.
“Jadi nampak tak, terbukti penceritaan karya adalah faktor utama kejayaan sesebuah drama dan filem. Boleh berjaya di peringkat antabangsa.
“Apa yang melucukan, pelakon Squid Game sebelum ini tak ada media sosial pun, tak ada Instagram. Baru-baru ni mereka baru ada, itu pun mesti produksi suruh buka akaun sebab drama tu dah viral seluruh dunia.
“Jadi karya yang hebat akan mengundang populariti pelakon itu kemudian, dan pastinya karya hebat diterjemahkan oleh pelakon berbakat,” katanya.
Bagaimanapun Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan berkata, pelakon berbakat yang memiliki ramai pengikut di media sosial adalah satu bonus kepada pelakon tersebut.
“Biarlah pelakon itu punya follower satu juta, 5 juta atau 10 juta tapi tanpa bakat karya itu pasti tidak ke mana, akan hancur.
“Apa yang lebih menakutkan ia bukan sahaja menghancurkan karya itu, tetapi industri ini sendiri, orang akan kata sesiapa pun boleh berlakon dan tengok hasilnya sama sahaja yang mengakibatkan orang tak nak menonton lagi karya tempatan. Itu yang kita bimbang.
“Jadi pentingnya bakat, ada bakat, ada pengikut yang ramai di media sosial itu adalah bonus buat seseorang pelakon,” katanya.
Baru-baru ini, Nam Ron menerusi haantaran di Instagram dan Twitter memuat naik dua gambarnya tidak berbaju, sebagai sindiran terhasap isu saluran televisyen (TV) penstriman meletakkan syarat bagi watak utama mempunyai sejuta pengikut di Instagram.
Dalam hantaran sama, Nam Ron menulis keterangan secara sinikal mengenai ‘strategi’ yang dilakukannya untuk menyahut cabaran stesen TV yang mahukan pelakon dengan sekurang-kurangnya sejuta pengikut di media sosial. – Malaysiapost

