Perlu buat saringan Covid-19 sebelum masuk Terengganu

0
1

INDIVIDU yang mahu memasuki Terengganu apabila perjalanan rentas negeri dibenarkan, perlu membuat ujian saringan Covid-19 terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata saranan itu bertujuan mengelak peningkatan kes Covid-19 di Terengganu terutama membabitkan varian Delta dan Beta.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh melakukan ujian saringan Covid-19 di klinik kesihatan kerajaan atau swasta sebelum memulakan perjalanan rentas negeri ke Terengganu.

Selain itu, beliau berkata, ujian saringan boleh dilakukan sendiri menggunakan kit ujian kendiri yang boleh dibeli di farmasi.

“Saranan ini bukan mahu membebankan atau menyusahkan mana-mana pihak tetapi demi kebaikan kita semua memandangkan virus berkenaan masih ada dalam masyarakat kita.

“Kita faham warga Terengganu yang bekerja di luar sudah lama tidak bertemu dengan keluarga di kampung tetapi aspek keselamatan tidak wajar dipandang remeh ketika kes masih tinggi.

“Gesaan ini sebagai langkah awal kerana kita tidak mahu mereka menjadi pembawa virus itu yang akan merisikokan ahli keluarga terutama warga emas,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

Terdahulu, sebanyak 42 kes penularan varian Delta dan Beta dikesan di Terengganu dengan 33 kes membabitkan varian Delta manakala sembilan lagi membabitkan varian Beta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kelonggaran rentas negeri dibenarkan apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis dibuat Kementerian Kesihatan (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here