PBS sifatkan pertembungan sesama PN pertandingan mesra

0
2

PARTI Bersatu Sabah (PBS) menyifatkan tindakannya meletakkan calon di kawasan ditandingi rakan parti Perikatan Nasional (PN) sebagai pertandingan mesra’ untuk memastikan kemenangan berpihak kepada gabungan itu.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Radin Maleh, dalam kenyataan berkata parti itu ada alasan tersendiri untuk meletak calon di kerusi yang diagihkan kepada parti lain, termasuk mengambil kira kehendak penyokongnya.

Jelasnya, walaupun PBS sebaik mungkin mahu mengelak pertembungan dengan parti lain dalam PN, ada kawasan yang sukar dielak dan ia sudah dijangka pasti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Beliau berkata, PBS juga mengambil kira kenyataan Setiausaha Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sebelum ini mengenai kemungkinan ada kerusi yang bertindih dengan parti lain dalam gabungan berkenaan.

“Daripada 15 kerusi diagihkan kepada PBS, tiga kerusi turut ditandingi PBRS iaitu di Matunggong, Tandek dan Kadamaian, malah Umno bertanding melawan PBS di Melalap dan Bengkoka.

“Selepas membuat analisis di kawasan Kadazandusun Murut (KDM) dan permintaan akar umbi, kita memutuskan memasuki pertandingan mesra’ di Tulid dan Paginatan, selain Moyog, Bingkor, Tambunan dan Liawan,” katanya.

Katanya, selain kerusi KDM, PBS membuat keputusan bertanding di kawasan Bumiputera Islam berdasarkan permintaan akar umbi di Lumadan yang sebelum ini diagihkan kepada BN-Umno.

“Secara keseluruhan, kita menganggap ini sebagai pertandingan mesra. Apa yang penting ialah komponen PN dapat memenangi semua kerusi,” katanya.

Selepas penamaan calon semalam, PBS yang juga rakan PN dilihat menurunkan calon di 22 kerusi berbanding 15 yang diumumkan sebelum ini, kebanyakannya di kawasan yang ditandingi Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

PBS dan Star bertembung di Tambunan, Moyog, Paginatan, Bingkor, Liawan dan Tulid.

PBS turut bertembung dengan Umno di Bengkoka, Lumadan dan Melalap selain dengan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) di Matunggong dan Kadamaian serta dengan MCA di Luyang dan Karamunting.

Secara keseluruhan, 17 kerusi menyaksikan pertembungan sesama PN, BN dan PBS selepas penamaan calon semalam.

Sementara itu, Presiden Star, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, menyatakan kekecewaannya terhadap PBS kerana melanggar persetujuan agihan kerusi termasuk menentangnya di Tambunan.

Jeffrey berkata kedua-dua parti sebelum ini bersetuju untuk berbahagi kerusi dengan PBS diberikan 15, manakala Star sebanyak lapan kerusi.

“Sebagai rakan PN, Star sebelum ini berbincang dengan PBS dan kita bersetuju daripada 24 kerusi diperuntukkan kepada kedua-dua parti, ia sepatutnya dibahagi sama rata, masing-masing dapat 12 kerusi.

“Namun, mereka monopoli juga dan dapat 15, kita (Star) dapat lapan kerusi saja. Saya kecewa, sudahpun dapat 15 dan berjanji tidak kacau tetapi mereka (PBS) langgar juga termasuk di Tambunan,” katanya.

Berikutan itu, katanya, Star memutuskan untuk turut menentang PBS sepanjang dua minggu kempen PRN ini dan meminta penyokongnya bersolidariti memberi kemenangan kepada Star. – Malaysiapost