PN batal peruntukan RM4.2 juta untuk Sim-Sim

0
2

KERAJAAN Pusat diminta menjelaskan sebab pembatalan penyelenggaraan jambatan di perkampungan atas air Sim-Sim di Sandakan bernilai RM4.2 juta.

Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, perkara itu diketahui menerusi surat bertarikh 8 Julai 2020 daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) kepada Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).

Katanya, peruntukan itu dimohon Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan dan diluluskan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng.

“Ini menghancurkan harapan penduduk. Selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) menguasai Putrajaya, projek ini dibatalkan tanpa sebab.

“JPM perlu menjelaskan sebab pembatalan projek baiki jambatan yang kritikal. Kita tidak ingin melihat penduduk jatuh ke laut, terutama kanak-kanak,” katanya dalam kenyataannya di Sandakan hari ini.

Ming Fung berkata, pembatalan peruntukan itu membuktikan kerajaan PN tidak mengambil berat nasib rakyat Sabah.

Beliau juga mendapat laporan semalam mengenai keadaan jambatan 21 di Kampung Sim-Sim yang berisiko runtuh dan membahayakan penduduk.

“Sebelum DUN dibubarkan, saya sebagai Adun di sini salurkan peruntukan bagi menyelenggara jambatan di Kampung Melayu Sim-Sim,” katanya.

Ming Fung turut mempersoalkan Parti Progresif Sabah (SAPP) menyertai gabungan PN jika bersetuju dengan tindakan kerajaan PN yang didakwa menindas rakyat Sabah.

“Adakah calon SAPP, Yong Chie Man setuju dengan kerajaan PN yang menindas rakyat Sabah dengan menolak permohonan peruntukan bagi menyelenggara jambatan di Kampung Sim-Sim?” katanya. – Malaysiapost