2 lagi Seksyen Jalan Central Spine di Pahang dibuka

0
2

DUA lagi Seksyen Jalan Central Spine di Pahang dibuka secara rasmi hari ini.

Ia melibatkan Jalan Central Spine, Pakej Raub ke Bentong, Seksyen 5C2 Kampung Asap Ke Kampung Sertik dan Seksyen 5D iaitu Bentong Bypass.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata jajaran Seksyen 5C dan 5D bermula dari Jalan Susur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (Lebuhraya Pantai Timur – LPT) melalui Persimpangan Benus, Bulatan Mempaga dan berakhir di Persimpangan Keruntung, Pahang.

Katanya, kaluan itu diwartakan menjadi Jalan Persekutuan 34 (Jalan Central Spine), dengan panjang jajaran yang dibuka hari ini ialah 22.3 kilometer (km).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan jajaran Jalan Central Spine yang dibuka kepada pengguna adalah sepanjang 89.25 km. Kedua-dua seksyen ini merupakan subpakej kepada Pakej 5, Jalan Central Spine yang mempunyai enam pakej secara keseluruhan.

“Projek Seksyen 5C dimulakan pada 5 November 2015 dan disiapkan pada 30 Oktober 2018 dengan panjang jajaran 5.78 km, manakala untuk Seksyen 5D, projek dimulakan pada 18 April 2016 dan disiapkan pada 20 April 2021 dengan panjang jajaran 22.72 km.

“Kos projek untuk pakej-pakej ini adalah sebanyak RM631.98 juta,” katanya.

Terdahulu beliau bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyempurnakan perasmian pembukaan kedua-dua seksyen berkenaan.

Fadillah berkata, pembukaan jajaran itu bakal memberi banyak impak positif kepada rakyat, termasuk dari aspek pemanduan dan perhubungan yang mana mobiliti pengguna ke Pantai Timur dapat ditingkatkan melalui penyediaan laluan alternatif baharu.

Sebagai perbandingan, katanya, penduduk Kampung Mempaga yang ingin ke Pekan Bentong sebelum ini perlu melalui jalan persekutuan FT08 dengan jarak 30 km.

Namun beliau memaklumkan, setelah jalan Bentong bypass disiapkan, jarak perjalanan dapat dipendekkan kepada 12km sahaja dengan penjimatan masa daripada 45 kepada 20 minit.

“Ini sekali gus menjimatkan masa dan kos bahan api serta mengurangkan kesesakan trafik di Jalan Persekutuan FT08 terutamanya ketika waktu puncak dan musim cuti perayaan.

“Dari aspek sosio ekonomi, pembukaannya mampu merancakkan ekonomi melalui aksesibiliti ke lokasi-lokasi pelancongan di kawasan Pahang Barat,” katanya lagi.

Menurut Fadillah, projek Jalan Central Spine merupakan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang hampir 306.8km dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan LPT, Bentong, berasaskan empat lorong dua hala (4-lane dual carriageway) mengikut piawaian JKR R5.

Projek ini dibahagikan kepada enam pakej utama iaitu:
Pakej 1: Kuala Krai ke Jambatan Sg. Lakit, Kelantan (47km)
Pakej 2: Jambatan Sg. Lakit ke Gua Musang, Kelantan (59.6km)
Pakej 3: Gua Musang ke Kg. Relong, Kuala Lipis, Pahang (93.4km)
Pakej 4: Kg. Relong, Kuala Lipis ke Raub, Pahang (44.65km)
Pakej 5: Raub ke Bentong, Pahang (54.1km)
Pakej 6: Bentong ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Pahang (8.05km )

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here