KEMENTERIAN Pengangkutan (MOT) menegaskan bahawa dakwaan tidak wujud penyertaan kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), tidak tepat.
MOT dalam satu kenyataan hari ini, berkata terdapat beberapa laporan berita menfokuskan pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Salak mengenai perkara itu, semasa isu ECRL dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Dungun di Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu.
“Justeru, adalah kurang tepat untuk mengatakan ‘tidak wujud’ penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek ECRL ini,” menurut kenyataan itu.
Jelas MOT sehingga 31 Ogos 2021, terdapat 81 syarikat majoriti Bumiputera menyertai projek ECRL dengan nilai sebanyak RM320 juta.
“Ini merupakan 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan Bumiputera yang dirancang iaitu RM3 bilion. Fakta ini harus dilihat dalam konteks kemajuan projek bernilai RM50.3 bilion tersebut seperti dimaklumkan Menteri di Parlimen semalam, yang pada masa ini berada pada kadar 23.96 peratus setakat 31 Ogos 2021.
“Sebanyak 81 syarikat Bumiputera ini telah berjaya melepasi latihan pra-kelayakan yang dilakukan pada tahun 2017 dan 2019 serta memperoleh kontrak secara kompetitif melalui tawaran dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).
“Mereka merangkumi 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal. Secara keseluruhan, jumlah penyertaan kontraktor tempatan bagi projek ECRL mempunyai nilai RM4.59 bilion dari jumlah dirancang sebanyak RM10 bilion (45.9 peratus) dengan 1,368 syarikat mengambil bahagian,” katanya.
Mengulas lanjut, menurut MOT, di bawah Perjanjian Tambahan (SA) No 6, kadar peratusan efektif penyertaan syarikat Bumiputera dalam projek ECRL juga akan dinaikkan dari 30 peratus kepada 32.9 peratus.
“Jadi, ini menunjukkan komitmen kontraktor utama EPCC untuk meningkatkan peratusan penyertaan kontraktor Bumiputera dan tempatan dalam projek mega ECRL.
“Ini juga hasil penubuhan Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera di dalam Projek ECRL pada Oktober 2020 yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan untuk memastikan penyertaan warga tempatan dan Bumiputera dalam projek ECRL.
“Justeru secara keseluruhan, MOT komited untuk memperingkat dan mengembangkan keupayaan syarikat tempatan agar mereka dapat turut bersaing dalam projek-projek mega seperti ECRL yang menjadi pemangkin pertumbuhan masa depan negara,” katanya. – Malaysiapost

