Waktu perbahasan tidak cukup sukarkan Ahli Parlimen – Hannah

0
2

KEKANGAN masa untuk berbahas di Dewan Rakyat, menyukarkan Ahli Parlimen mendapatkan jawapan yang memuaskan berhubung isu atau masalah dihadapi rakyat, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Menurutnya, keadaan itu tidak boleh berterusan kerana Ahli Dewan Rakyat terutama menteri atau timbalan menteri perlu ada akauntabiliti dan ketelusan menjawab masalah rakyat.

“Gaji menteri bukan gaji buta ya, kita kena ada akauntabiliti dan ketelusan,

“Disebabkan kekurangan masa, ramai Ahli Parlimen tidak berpeluang mencelah untuk menanyakan soalan ketika menteri berbahas.

“Tiada maknanya perbahasan tanpa ada soal jawab daripada menteri, masa yang diberikan hanya 20 minit. Wakil rakyat di sini adalah yang dipilih oleh rakyat dan nak bantu rakyat,” katanya berhubung isu masa perbahasan yang didakwa tidak mencukupi di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak di sebelah Klinik Kesihatan Segambut, hari ini bagi mencari ruang tambahan untuk perkhidmatan klinik berkenaan yang perlu diperkasakan pasca Covid-19.

Hannah berkata, susulan kekangan masa terbabit ada Ahli Parlimen yang terpaksa menunggu hingga malam untuk mendapat jawapan daripada menteri, namun kecewa apabila masa telah habis dan diberikan jawapan secara bertulis.

“Lebih malang jawapan itu tak memuaskan hati dan tak menjawab soalan,” katanya.

Sementara itu, beliau membidas sesetengah wakil kerajaan yang terbawa-bawa emosi kepartian ketika menjawab soalan pencelahan daripada wakil rakyat pembangkang.

“You tak boleh tengok ahli politik. Soalan tambahan you tak boleh tengok ini gangguan, ini serangan. Ini sebenarnya hak wakil rakyat sebab dia mewakili penduduk di kawasannya untuk tanya soalan.

“Saya rasa Menteri ni tidak boleh sensitif. Jangan sensitif sangat. Ini bukan ‘personal attack’. Anda datang berbahas anda mewakili kementerian. Anda kena bersedia menjawab soalan,” katanya.

Semalam, wakil rakyat DAP itu ‘bertikam lidah’ dengan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah di Dewan Rakyat.

Keadaan itu berlaku, apabila Hannah tidak berpuas hati mengenai jawapan Zailah bagi soalannya dan sebaliknya mengatakan dia sepatutnya lebih tahu kerana pernah menjadi timbalan menteri dahulu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here